SIBU, 21 Jan: Sebanyak 12 lagu layak ke final selepas berjaya dalam saingan peringkat separuh akhir Anugerah Lagu Melanau 2023 (AJLM 2023) yang berlangsung di Dewan Kelab Melayu (MUC) di sini, malam tadi.
Lagu tersebut ialah Asang Bak Berubah ciptaan komposer Syaheezam Yunos, Ubaklah (Abd Aziz Murni), Takdir (Afiqah Mohamad Anis), Gidei Ji Agei (Kenny De Eduardo), Sempurna (Affiq Iqwan), Erti Kehidupan Reti Udipan (Affiq Iqwan), Perry (Harris Ajak), Kerajaan Cinta (Iskandar Bujang),Lagu Melanau Telo (Sufi Ahmad), Wakno Gaya (Sufi Ahmad), Memori (Maisarah Mohamad Anis) dan Pernah Tersengad ( Salwa Saini).
Presiden Persatuan Pengkarya Pemuzik Artis Melanau (PAMM) Sibu, Mohamad Anis Illi berkata, AJLM 2023 bukan sahaja mengakhiri penantian selama lima tahun persatuan itu tetapi juga bakal menghimpunkan penggiat seni dan pengkarya hebat lagu- lagu Melanau
“Anugerah ini juga bertujuan mempromosikan lagu melanau yang semakin dikenali dalam kalangan peminat seni tempatan.
“Malah, ia merupakan platform penting bagi memartabatkan hasil karya seni anak Melanau di negara ini,” katanya kepada TVS.
Beliau menjelaskan, saringan awal bermula 10 Januari lalu menyaksikan saingan sengit lebih 100 penyertaan bagi melayakkan diri ke peringkat separuh akhir dan hanya 12 lagu akan dipertandingkan dalam acara kemuncak itu nanti.
Katanya, program yang turut diserikan dengan persembahan artis terkemuka tanah air itu dijangka akan dihadiri oleh 1,000 tetamu.
“Acara kemuncak AJLM 2023 yang diadakan di Dewan Kompleks Baitulmal Sibu pada 27 Januari ini, dijangka akan dirasmikan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah,” jelasnya.-TVS