BINTULU, 20 Jan: Sebuah taman pertanian bakal dibina di Sebauh, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD), Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Menurutnya, kawasan seluas 1,073 hektar yang dicadangkan itu terletak berhampiran Sungai Senga yang merupakan bekas tapak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Taman pertanian ini dianggarkan menelan kos sebanyak RM250 juta dan kira-kira 14 buah rumah panjang berdekatan akan mendapat manfaat daripada projek ini.
“Ini (taman pertanian) memang dibangunkan bagi tujuan pengeluaran selain latihan untuk mengenal pasti jenis tanaman yang sesuai untuk ditanam di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan geran projek kecil luar bandar(MRP) 2023 Fasa 4 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena di Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu, pada Sabtu.
Tambahnya, kawasan tersebut merupakan tanah gambut sesuai untuk tanaman seperti kelapa, nenas serta padi yang kini masih di peringkat kajian.
Justeru itu, Rundi menyeru para petani kecil khususnya di kawasan Kemena untuk menerokai kaedah pertanian baharu dan bertekologi moden bagi menghasilkan tanaman bernilai tinggi.
“Selain kelapa sawit, kita boleh menghasilkan tanaman lain yang lebih bernilai tinggi dan memberi pulangan lumayan dengan beralih kepada cara baharu, moden dan berteknologi tinggi,” ujarnya.
Terdahulu, majlis menyaksikan sejumlah 29 penerima terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), dan sekolah di kawasan Kemena menerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM476,400.
Rundi mendedahkan peruntukan itu bertujuan untuk membolehkan pertubuhan atau JKKK melaksanakan projek-projek kecil luar bandar termasuk aktiviti yang melibatkan komuniti.
“Selalunya saya perhatikan peruntukan ini digunakan, khususnya JKKK rumah panjang, untuk bergotong-royong dan melakukan sendiri sama ada projek fizikal, latihan dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya peruntukan seumpama itu diyakini akan memberi kesan positif kepada rakyat terutama penduduk di luar bandar.-TVS