Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kerajaan MADANI menaikkan kadar bantuan untuk isi rumah menerusi Sumbangan Asas Rahmah kepada RM1,200 tahun ini. Foto hiasan Envato

SARA 2024: Kerajaan Madani naikkan kadar bantuan isi rumah kepada RM1,200

ByBernama

KUALA LUMPUR, 20 Jan: Kerajaan MADANI menaikkan kadar bantuan untuk isi rumah menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM1,200 tahun ini berbanding RM600 pada 2023 manakala kadar untuk golongan bujang kekal RM600.

Program itu dijangka memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta pada tahun lepas yang menyaksikan peningkatan peruntukan lebih lima kali ganda.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan ia adalah sebahagian daripada usaha menambah baik SARA sebagai bantuan subsidi bersasar kepada rakyat yang paling terkesan dengan kos sara hidup.

“Transformasi ekonomi Malaysia bermula dengan mengangkat darjat rakyat. Penambahbaikan program SARA ini merupakan satu langkah awal untuk menangani kesenjangan kekayaan serta membina sebuah masyarakat yang inklusif seperti didambakan dalam kerangka Ekonomi MADANI,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, dalam kenyataan itu.

Kementerian Kewangan memaklumkan SARA yang bakal dilaksana secara berperingkat bermula 22 Jan ini menyasarkan untuk mengangkat taraf ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan yang menjadi teras kepada kerangka Ekonomi MADANI.

Menurut Kementerian Kewangan, penambahbaikan SARA turut melibatkan usaha memperluas penerima yang layak merangkumi golongan miskin dan miskin tegar berbanding pada 2023 yang hanya terhad kepada miskin tegar.

“Penggunaan kredit program SARA diperluas daripada hanya makanan asas kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.

Di bawah program ini, penerima yang layak boleh membeli barang keperluan asas terpilih dengan menggunakan myKAD di kedai-kedai runcit berdaftar,” menurut kenyataan itu.

Pelaksanaan SARA akan bermula pada 22 Jan ini bagi penerima dari Semenanjung Malaysia manakala penyaluran bantuan tunai untuk penerima dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan bermula pada 19 Feb.

Bagi penerima di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, bantuan akan disalurkan dua kali setahun iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan serta RM300 untuk golongan bujang pada 19 Feb dan 12 Ogos melalui pengkreditan ke akaun bank/secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional seluruh negara.

Mengambil kira sambutan program SARA yang menggalakkan pada tahun lepas, kerajaan juga telah meluaskan rangkaian rakan runcit (pasar raya/kedai) yang mengambil bahagian kepada 515 buah (setakat 17 Jan 2024) berbanding 424 buah (tahun 2023) di seluruh negara.

Kementerian Kewangan turut menasihati penerima SARA agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi merujuk informasi mengenai program itu.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan