GEORGE TOWN, 20 Jan: Seorang pelanggan sebuah kedai nasi kandar di Jalan Air Itam di sini dikatakan memecahkan rekod nasi kandar termahal iaitu mencecah RM218 sepinggan hari ini.
Wakil restoran berkenaan berkata, pelanggan warga tempatan itu merupakan pelanggan pertama mereka menikmati hidangan popular melebihi RM200 iaitu bersamaan lauk 13 ekor sotong dan 13 ekor udang.
“RM218 (sepinggan). Memecahkan rekod. Saya sendiri tidak sangka orang pertama masuk (melebihi) RM200.
“(Ia) Amat-amat dahsyat. Tidak dijangka,” kata restoran itu menerusi satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Kenyataan itu berkata, pelanggan berkenan berjaya menghabiskan nasi kandar tersebut dalam tempoh sejam tujuh minit.
“Antara lauk adalah 13 ekor sotong yang berharga RM7.50 seekor, 13 ekor udang berharga RM7.50 seekor dan dua ketul isi ayam berharga RM5.50 seketul.
“Selain itu, telur sotong berharga RM7, bendi (RM2), telur masin (RM2) dan nasi putih (RM1.50),” ujar kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, kelmarin seorang pelanggannya menikmati nasi kandar bersama lauk 12 ekor sotong, ayam, ikan, daging dan daging kambing pada harga RM114.50.
Sebelum ini beberapa restoran nasi kandar di negeri ini mencetuskan kontroversi apabila pelanggan mengadu terpaksa membayar harga tinggi sehingga tular di media sosial.
Pada November 2021, seorang pelanggan restoran nasi kandar di Lebuh Cambell di sini mengadu terpaksa membayar hidangan nasi kandar bersama lauk dua ekor sotong yang mencecah RM100.
Sementara itu, pada Mei 2022, seorang pelanggan wanita restoran nasi kandar di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas mendakwa sepinggan nasi kandar bersama lauk ayam goreng dan telur masin berharga RM27. – TVS