KUCHING, 20 Jan: Jumlah mangsa banjir di Sarawak ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat sedikit berbanding malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak memaklumkan, sehingga 12 tengah hari ini seramai 419 orang ditempatkan di tiga PPS berbanding 414 orang pada 8 pagi tadi.
PPS Dewan Perpaduan Debak mencatatkan pertambahan lima orang, menjadikan jumlah mangsa di pusat berkenaan 223 orang daripada 71 keluarga.
Seramai 141 orang daripada 39 keluarga berteduh di Dewan Millinea, Debak. PPS Rumah Steven, Tatau pula menempatkan seramai 55 orang daripada 27 keluarga.
Sementara itu, satu PPS dibuka di Balai Raya Kampung Assyakirin, Bintulu bagi menempatkan 27 mangsa ribut pada Khamis lepas.
Jumlah keseluruhan mangsa masih berada di PPS sehingga 12 tengah hari ini ialah 446 orang. – TVS