SIBU, 19 Jan: Zon Barat yang membabitkan Betong, Sri Aman dan Sarikei bakal menjadi tuan rumah bagi penganjuran Sukan Sarawak (SUKSAR) IV pada 2025, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak itu berkata pemilihan Betong sebagai kawasan dalam Zon Barat adalah berdasarkan urutan yang ditetapkan.
“SUKSAR IV ini berkemungkinan akan dilaksanakan pada tahun hadapan (2025), ini bermakna kesemua zon di Sarawak akan mempunyai pengalaman dalam penganjuran SUKSAR,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peenutupan Sukan Sarawak (SUKSAR) III Sibu 2023 di sini pada Khamis.
Beliau berkata, SUKSAR pertama dianjurkan Zon Selatan iaitu di Kuching pada 2017, disusuli Zon Utara di Miri dan Zon Tengah di Sibu sebagai tuan rumah SUKSAR III Sibu 2023 yang berakhir semalam.
Katanya, dengan adanya penganjuran temasya sukan sebegini, ia akan membolehkan sesuatu kawasan itu dapat disediakan dengan fasiliti sukan yang memerlukan perhatian.
SUKSAR III Sibu 2023 menyaksikan kontinjen Zon Selatan dinobatkan sebagai juara selepas mengumpul 63 pingat emas sepanjang empat hari temasya.
Acara wusyu menyumbang jumlah pingat emas terbanyak untuk kontinjen itu dengan 17 pingat diikuti taekwando (11), tinju (sembilan), pencak silat (sembilan), angkat berat (lima), berbasikal (empat), judo (empat), futsal (dua) dan karate (dua).
Zon Selatan yang merangkumi bahagian Kuching, Samarahan dan Serian turut mengumpul 43 pingat perak dan 38 pingat gangsa, menjadikan keseluruhan pingat dimenangi pasukan itu sebanyak 144 pingat.
Temasya yang berlangsung di sini dari 15 hingga 18 Jan itu turut menamakan dua atlet taekwando Zon Selatan iaitu Fedealis Twin dan Farah Nabilla Maddarus masing-masing sebagai Olahragawan Harapan dan Olahragawati Harapan SUKSAR III.
Sementara itu, Zon Tengah (Sibu, Mukah dan Kapit) muncul naib johan selepas memperoleh 50 pingat emas, 47 perak dan 54 gangsa, diikuti Zon Utara (Miri, Limbang, Bintulu) di tempat ketiga dengan 49 emas, 56 perak dan 58 gangsa, manakala Zon Barat (Betong, Sri Aman, Sarikei) yang mengutip lapan emas, 22 perak dan 44 gangsa menduduki tempat keempat. – TVS