KUCHING, 19 Jan: Setelah lima hari meluangkan masa melawat beberapa lokasi di bandar raya ini serta menyantuni rakyat Bumi Kenyalang, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat pulang ke ibu negara dengan pesawat khas pada 12.30 tengah hari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengetuai kenamaan tempatan yang hadir di lapangan terbang itu bagi mengucapkan selamat berangkat kepada Tengku Hassanal dan rombongan.
Sepanjang lawatan kerja di bandar raya ini, baginda berkenan mengunjungi beberapa lokasi ikonik seperti Dataran Ibu Pertiwi, Jambatan Darul Hana dan Muzium Kebudayaan Borneo.
Selain itu, Tengku Hassanal turut melawat pejabat Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Menara Sarawak Energy Berhad (SEB), Algae Nursery Site Resintech Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Pusat Hidupan Liar Semenggoh.
Hadir sama mengiringi keberangkatan pulang baginda ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee. – TVS