SIBU, 19 JAN: Dua atlet taekwondo Zon Selatan dinobatkan sebagai Atlet Harapan Sukan Sarawak (SUKSAR) III Sibu 2023.
Farah Nabila Maddarus dan Fedealis Kom Twin berkata mereka tidak menyangka akan mendapat pengiktirafan seumpama itu.
“Untuk mendapatkan anugerah ini tidak mudah kerana perlu mengorbankan banyak masa. Saya sendiri tidak pernah terfikir untuk menerima anugerah ini,” kata Farah yang dinobatkan sebagai Atlet Harapan Wanita.
Beliau mengakui telah menjalani latihan untuk tempoh yang lama bagi meningkatkan kemampuan sebelum mengharungi tugas getir untuk beraksi di SUKSAR.
“Rutin latihan sangat padat, saya perlu banyak berlatih untuk meraih kejayaan,” katanya lagi.
Sementara itu, Fedealis berkata beliau berasa bangga atas pencapaiannya menerusi SUKSAR, malah bersyukur kerana ibu bapanya memberi sokongan dan dorongan yang kuat.
“Anugerah ini susah untuk dapat, setiap hari saya menjalani latihan dan dalam masa yang sama perlu belajar.
“Ibu bapa saya banyak korbankan masa menghantar saya menjalani latihan tak kira pagi, petang hingga malam,” katanya yang meraih gelaran Atlet Harapan Lelaki.
Farah Nabila berjaya membawa pulang pingat emas menerusi acara Individual (Recognise Poomse), sementara Fedealis pula menerusi kategori Male (Recognise Poomse).
Mereka berdua juga berjaya membutirkan pingat emas menerusi kategori Mixed Pair (Recognise Poomse).
Upacara penangguhan SUKSAR III Sibu 2023 di Stadium Tertutup Sibu pada Khamis disempurnakan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. – TVS