LIIMBANG, 19 Jan: Penduduk di beberapa kawasan di sini kini giat melakukan persiapan rapi untuk menghadapi kemungkinan banjir lagi.
Beberapa kawasan yang telah dikenal pasti dilanda musibah berkenaan sebelum ini merangkumi Taman Sri Patiambun, Taman Damai B, Kampung Bunga Raya, beberapa kawasan di Jalan Kubong, Batu Danau, hulu Medamit dan jalan pesisir sungai Limbang.
Selain itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Limbang juga sudah mengenal pasti kira-kira 53 kawasan panas dan berisiko banjir di daerah berkenaan.
Tinjauan wakil TVS di sini menemui salah seorang penduduk di Taman Damai B, Hamidah Tangah yang sudah mengemas dan menyimpan barangan penting milik mereka bagi memudahkan urusan berpindah segera apabila berlaku banjir nanti.
“Sebagai penduduk di Taman Daman B, kita sentiasa bimbang jika hujan lebat berlarutan kerana boleh menyebabkan banjir kilat berlaku.
“Sebagai persediaan, saya mengemas dan menyimpan barangan penting sekiranya banjir berlaku,”katanya ketika ditemui wakil TVS pada Jumaat.
Menurutnya mereka sekeluarga turut membina benteng dan bendul di kawasan rumah terutama di pintu hadapan dan belakang kediaman bagi mengelak air masuk apabila berlaku banjir.
Hamidah mengakui bahaw Taman Daman B antara kawasan yang terjejas banjir terutama ketika berlakunya pertembungan air pasang dan hujan lebat.
Turut senada Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Patiambun, Awangku Wahab Pengiran Matusin pula memberitahu penduduk di kawasan perumahan telah sepakat melakukan gotong-royong membersihkan longkang yang tersumbat.
“Jika hujan lebat berlaku dan bertembung dengan air pasang menyebabkan beberapa rumah di Kawasan Taman Sri Patiambun kini dinaiki air terutama di Lorong 5 dan 7.
“Sebagai persiapan penduduk sudah bergotong royong membersihkan parit dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah membuat pembentung dan kerja baikpulih longkang oleh pihak Jabatan Pengaliran dan Saliran,” katanya.
Sementara Timbalan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bunga Raya, Sofri Abdul Rajak, menjelaskan jalan utama berhampiran Kampung Bunga Raya akan kelihatan seperti ‘sungai besar’ jika air mendadak naik apabila hujan lebat berlaku.
Banjir kilat itu katanya turut menjejaskan sebahagian kawasan di kampung berkenaan terutama melibatkan Lorong Temenggung dan Lorong Pemanca di kampung berkenaan.
Menurut Sofri penduduk kampung sudah diarah bersiap sedia termasuk menghubungi agensi penyelamat berkaitan sekiranya banjir kilat berlaku.
“Jika berlaku banjir jalan utama dihadapan kampung juga memang seperti sungailah, jadi penduduk kampung juga sudah diarah untuk bersiapsedia menghubungi agensi-agensi berkenaan jika terjadinya musibah banjir,” katanya lagi. -TVS