Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Jurulatih Skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon (kiri) bersama pemainnya, Matthew Davies. Foto Bernama

Perebutan tiga mata penting tumpuan aksi Malaysia bertemu Bahrain

ByBernama

DOHA, 19 Jan: Buat pertama kali dalam sejarah Bahrain dan Malaysia akan membuat perhitungan dalam saingan peringkat kumpulan Piala Asia pada pertembungan di Stadium Jassim Bin Hammad di Bandar Al Rayyan, kira-kira lima kilometer dari sini, esok.

Kedua-dua pasukan berkongsi matlamat yang sama iaitu memburu kemenangan dalam usaha mencerahkan peluang ke pusingan 16 terbaik selepas masing-masing memulakan kempen Piala Asia 2023 dengan kekalahan sekali gus menambah tekanan menjelang pertembungan itu.

Pada aksi sulung kedua-dua pasukan dalam saingan Kumpulan E, Bahrain tumpas 1-3 di tangan juara dua kali Korea Selatan manakala Malaysia yang beraksi di bawah tahap sebenar tewas 0-4 kepada Jordan.

Sekiranya Malaysia yang dibimbing pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan Gon, berjaya meraih tiga mata esok, ia adalah kemenangan pertama skuad Harimau Malaya dalam tempoh 44 tahun pada pertandingan ini sejak menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-0 pada edisi 1980 di Kuwait.

Biarpun bermula dengan langkah sumbang, Malaysia telah menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan tujuh kemenangan termasuk menentang pasukan di ranking dunia lebih baik, seri dua dengan pasukan 100 terbaik dunia dan hanya tewas sekali sebelum kecundang di tangan Jordan.

Kali terakhir Malaysia berjaya menundukkan Bahrain pada 1978 yang menyaksikan pasukan negara menang 2-1 dalam pertembungan pada Piala Presiden sebelum tewas tujuh dan seri tiga dalam 10 pertemuan selepas itu.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu menyaksikan Bahrain terpaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan tipis 2-1 pada aksi kumpulan pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jun 2022.

Pada kempen kali ini, Malaysia menyasarkan untuk mencipta sejarah layak ke pusingan 16 terbaik selepas terkandas di peringkat kumpulan dalam tiga penampilan sebelum ini masing-masing pada edisi 1976 di Iran, 1980 di Kuwait dan ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.

Berdasarkan rekod pertemuan dan prestasi di atas kertas, Bahrain di ranking dunia ke-86 memiliki kelebihan untuk mencuri tiga mata ke atas anak buah Pan Gon yang menghuni kedudukan jauh lebih rendah di posisi ke-130, terutama selepas dilihat mampu memberikan saingan ketika berdepan Korea Selatan.

Bahrain yang dibimbing Juan Antonio Pizzi juga bakal turun dengan motivasi yang tinggi untuk memadam rekod tiga kekalahan berturut-turut dalam kesemua pertandingan sebelum ini sekali gus dapat menghidupkan peluang untuk mengulangi pencapaian edisi lepas lolos ke pusingan 16 terbaik.

Kedua-dua pasukan sudah membuat persiapan rapi di sebalik beberapa kecederaan yang menghimpit pasukan antaranya pemain tengah Bahrain, Mohammed Al Hardan, selain Malaysia juga berdepan kemungkinan tidak dapat menurunkan dua pemain tengahnya, Mohd Afiq Fazail dan Endrick Dos Santos.

Justeru, perlawanan esok dijangka berlangsung sengit sepanjang 90 minit permainan dan mana-mana pasukan yang kurang membuat kesilapan berpeluang tinggi untuk mengutip tiga mata pertama.

Ayuh Harimau Malaya, tunjukkan belang sebenarmu. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan