Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menara Berkembar Petronas antara bangunan pencakar langit yang menjadi lambang kemegahan Malaysia. Foto hiasan Envato

Pencakar langit Malaysia lambang kemajuan, kekuatan ekonomi negara

ByBernama

KUALA LUMPUR, 19 Jan: “Kurang membangun, ketinggalan dan dianggap sebagai negara dunia ketiga”, kata-kata itu merupakan persepsi awal yang mungkin berlegar dalam minda pelancong terutama dari benua berlainan yang belum pernah menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur.

Namun, persepsi mengenai pembangunan Malaysia itu ternyata kurang tepat apabila pencipta kandungan dari Amerika Syarikat yang hanya mahu dikenali sebagai Lilith yang berkunjung ke ibu negara ini mengakui terkejut melihat banyak bangunan pencakar langit berdiri megah di Kuala Lumpur.

“Apabila saya melihat Menara Berkembar Petronas buat kali pertama, ia sangat besar, saya tidak pasti sama ada saya pernah melihat sesuatu yang begitu tinggi sebelum ini. Saya juga sukakan pencakar langit di Kuala Lumpur, ia amat berbeza daripada negara lain,” kongsi gadis 26 tahun yang berasal dari Arizona itu.

Lilith menerusi akaun TikTok dan Instagram @Lilithinkl, gemar berkongsi mengenai tarikan di Kuala Lumpur termasuk keunikan menara pencakar langit yang kini, tiga antaranya iaitu Merdeka 118, The Exchange 106 dan Menara Berkembar Petronas termasuk dalam senarai 100 pencakar langit tertinggi di dunia.

Video rakamannya menunjukkan suasana di sekitar Bukit Bintang juga mendapat perhatian warga siber dengan jumlah hampir 150,000 tanda suka, rata-rata komen menyokong pendapatnya bahawa bangunan di Malaysia tidak kalah berbanding negara maju.

Dianggarkan terdapat 279 bangunan pencakar langit di Malaysia, dengan 210 daripadanya berketinggian lebih 150 meter (m), 63 melebihi 200 m dan enam bangunan melebihi 300 m. Sejumlah 241 bangunan itu terletak di Kuala Lumpur, manakala yang lain di Selangor dan Putrajaya.

Data ini didedahkan aktivis Perancangan Bandar Mohamad Afiq Daniel melalui akaun media sosial X @slainthayer awal bulan ini, yang turut berkongsi bahawa angka berkenaan melebihi jumlah bangunan pencakar langit yang terdapat di seluruh benua Eropah dan Rusia.

Ketika dihubungi Bernama, Mohamad Afiq berkata informasi itu diperoleh daripada laman web rasmi organisasi bukan keuntungan antarabangsa Council on Tall Buildings and Urban Habitat yang menyenaraikan maklumat tentang bangunan pencakar langit di seluruh dunia.

Daripada maklumat itu, beliau kemudiannya menganalisis mengikut bandar dan negara serta membuat perbandingan.

“Saya kagum kerana tidak menyangka Kuala Lumpur ada begitu banyak pencakar langit, ia menunjukkan kekuatan ekonomi di ibu negara. Ia juga menunjukkan betapa majunya Kuala Lumpur dan menjadi antara bukti pembangunan negara.

“Pencakar langit ada kelebihan dari segi ruang serta menyumbang kepada ekonomi dan pendapatan negara iaitu cukai hartanah diperoleh juga lebih tinggi, apabila KL ada banyak pencakar langit ia boleh menyumbang kepada bajet pembangunan yang lebih besar,” katanya yang juga penganalisis hartanah.

Pensyarah Kanan Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr S. Gobi Krishna berkata bangunan pencakar langit merupakan identiti yang menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara dengan keunikan seni binanya, sekali gus menyumbang kepada sektor ekonomi.

“Dalam konteks perancangan bandar, bangunan pencakar langit akan mewujudkan suatu skyline atau pemandangan bangunan yang menarik dari segi ketinggian dan reka bentuk bangunan.

“Sekiranya dilihat dari segi pembangunan di negara Barat, kebanyakan bangunan pencakar langit ini berkembang pesat di benua Asia kerana kekangan ruang pembangunan di kawasan bandar itu dan juga pemeliharaan bangunan sejarah yang bernilai tinggi,” katanya.

Bangunan pencakar langit menurut beliau juga, menunjukkan kekuatan infrastruktur di dalam negara dari aspek teknologi dan kejuruteraan, sekali gus mampu menjadi daya penarik kepada pelabur untuk melabur di negara ini.

Gobi Krishna bagaimanapun berkata, terdapat juga potensi berlakunya overhang ruang bangunan pencakar langit sekiranya ia digunakan secara optimum, sekali gus mengakibatkan kerugian. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan