KUCHING, 19 Jan: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) menganggarkan peningkatan kutipan zakat 2024 sebanyak 10.5 peratus iaitu RM156,385,700 berbanding RM141,564,440 pada 2023.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha berkata peningkatan jumlah kutipan dari tahun ke tahun menunjukkan terdapat kesedaran dalam kalangan masyarakat Islam untuk menunaikan tanggungjawab agama.
“Dari tahun 2022 ke 2023, peningkatan adalah sebanyak 20.3 peratus dan mengikut sasaran Pengurus Besar TBS, Datuk Abang Mohamad Shibli dan ahli Lembaga Baitulmal, anggaran peningkatan pada 2024 adalah 10.5 peratus,” katanya pada Wacana Perdana Premier Sarawak bersama Agensi-agensi Islam Sarawak di sini, malam tadi.
Menurutnya, TBS juga menyaksikan peningkatan kutipan zakat pendapatan lebih RM83 juta pada tahun 2023 dan zakat perniagaan berjumlah lebih RM33 juta.
Beliau menyifatkan kenaikan tersebut adalah amat ketara berbanding tahun sebelumnya.
Sementara itu, beliau memaklumkan anggaran peningkatan pendeposit Tabung Haji adalah sebanyak sembilan peratus dengan kadar RM2 bilion pada tahun 2024.
“Di Sarawak sahaja, pada tahun 2020 jumlah simpanan Tabung Haji ialah RM1.53 bilion, meningkat kepada RM1.68 bilion pada 2021, kepada RM1.72 bilion pada tahun 2022 dan bagi tahun 2023, peningkatan sebanyak RM1.73 bilion.
“Sebab itu saya mohon kepada semua agensi Islam, tolonglah berkempen untuk menyimpan di Tabung Haji sesuai dengan semangat wujudnya Tabung Haji untuk menanam semangat menabung dalam kalangan orang Islam,” katanya. – TVS