KUCHING, 19 Jan: Kerajaan Sarawak komited membantu pelaksanaan projek hidrogen di Tanjung Kidurong, Bintulu, yang dijangka beroperasi pada 2027, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurut beliau, projek mega itu dibangunkan dengan kerjasama antara SEDC Energy Sdn Bhd bersama konsortium multinasional global.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu turut mengakui berpuas hati dengan perkembangan terkini projek berkenaan.
“Hari ini saya bertemu dengan pengurusan Samsung Engineering Co Ltd, Lotte Chemical dan SEDC Energy Sdn Bhd berkait pengemaskinian cadangan projek hidrogen hijau di Kidurong, Bintulu.
“Kita berasa gembira kerana projek itu berjalan dengan baik dan Kerajaan Sarawak akan terus memudahkan mereka dalam perancangan mereka,” kata kenyataan Pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan hari ini.
Sebelum ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan perancangan pelaksanaan dua projek hidrogen utama di Bintulu iaitu Projek H2ornbill dan Projek H2biscus.
Turut hadir pada kunjungan hormat itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh dan wakil daripada Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), wakil Sarawak Energy Berhad (SEB) dan wakil dari InvestSarawak. – TVS