Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemerkasaan pesawah kecil di Sarawak perlu diberi tumpuan bagi mencapai matlamat inisiatif "Gelombang Padi" seperti yang diumumkan kerajaan Persekutuan baru-baru ini. Foto hiasan Envato

Gelombang Padi: Perkasa pesawah kecil Sarawak

KUCHING, 19 Jan: Pemerkasaan pesawah kecil di Sarawak perlu diberi tumpuan bagi mencapai matlamat inisiatif “Gelombang Padi” seperti yang diumumkan kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

Pengarah Kampus Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Prof Dr Shahrul Razid Sarbini berkata berbeza dengan negeri lain di Semenanjung, secara amnya aktiviti penanaman padi di Sarawak dilakukan secara kecil-kecilan, tidak berpusat dan hanya untuk tujuan sara diri.

Pakar dalam bidang makanan fungsian itu malah berkata terdapat pesawah di Bumi Kenyalang yang mengusahakan sawah sebagai pendapatan sampingan dan hanya menjual kepada pemborong atau individu sekiranya terdapat lebihan hasil.

“Di Sarawak, satu daripada strategi terbaik untuk memantapkan sekuriti makanan terutamanya dalam aspek beras adalah dengan memperkasakan pesawah kecil yang telah mengusahakan sawah mereka sejak turun-temurun.

“Cabaran utama kita adalah untuk mentransformasikan pesawah ini agar beralih kepada kaedah penanaman yang moden, selamat dan lestari bagi meningkatkan produktiviti pada tahap optimum,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada 16 Jan lepas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata inisiatif “Gelombang Padi” digerakkan tahun ini bagi mengangkat industri padi dan beras negara ke tahap lebih cekap dan berdaya tahan.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menggariskan 12 program untuk dilaksanakan menerusi inisiatif itu yang merupakan “pencetus perubahan” bagi transformasi industri padi dan beras negara antaranya memperkenalkan dasar baharu Insentif Benih Padi Sah (IBPS).

Turut dilaksanakan ialah usaha memulihkan dan membangunkan kawasan tanah jerlus, memperkasa pembekalan input pertanian, dan memperkasa penanaman padi bukit dan padi huma di Sabah dan Sarawak dengan menyediakan peruntukan bagi pembekalan input pertanian.

Sementara itu, mengulas mengenai peranan yang boleh dimainkan Sarawak bagi menjayakan inisiatif “Gelombang Padi”, Shahrul Razid berkata negeri itu sememangnya mempunyai misi dan hasrat untuk menjadi pengeksport beras menjelang 2030.

Antara usaha yang telah dilaksanakan Sarawak dalam mencapai matlamat itu adalah dengan menubuhkan skim penanaman padi di kawasan Stumbin – Bijat di Simanggang dan Tanjung Purun di Lundu.

“Selain itu, Sarawak juga bekerjasama dengan agensi berkaitan dan pihak universiti untuk mentransformasikan kegiatan penanaman padi di Lubok Punggor, Gedong melalui inisiatif AgriHub@Gedong yang diterajui oleh Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB).

“Inisiatif ini berhasrat untuk memperkasakan kegiatan penanaman padi melalui amalan pertanian baik dan mampan, dan juga penggunaan teknologi pertanian pintar,” katanya.

Inisiatif “Gelombang Padi” turut menyasarkan untuk mencapai 100 peratus kadar sara diri (SSR) beras. Pada tahun lepas, kadar SSR beras negara hanya mencecah 65 peratus. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan