KOTA SAMARAHAN, 19 Jan: “Saya tidak tahu,” jawab Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian ringkas ketika disoal para pemberita berhubung kesahihan laporan berita sebuah portal nasional berkaitan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar meletak jawatan hari ini.
Laporan berkenaan turut memetik bahwa perletakan jawatan Wan Junaidi susulan bagi membolehkan beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak ke-8 tidak lama lagi.
Seterusnya, Dr. Sim turut diasak pemberita sama ada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengetahui kesahihan laporan tersebut namun beliau menyatakan bahawa tidak mengetahui tentang perkara berkenaan.
“Apa yang saya tahu beliau (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) berada di Kuala Lumpur.
“Saya perlu pergi sekarang kerana acara ketiga sedang menanti saya” ujar beliau.
Terdahulu Dr. Sim menghadiri program Pameran Hidden Gems: The Life Works of Chong Liew Syn di Galeri Hoan yang terletak di sebuah pusat beli-belah, malam ini.
Selepas berucap dan melakukan lawatan di galeri tersebut, Dr. Sim memohon untuk meninggalkan majlis kerana mahu menghadiri acara lain namun ditahan sekumpulan pengamal media di hadapan galeri bagi mendapatkan kesahihan berita tersebut. -TVS