KUCHING, 18 Jan: Pembinaan tujuh pos kawalan Tentera Darat baharu di Sarawak dan Sabah merupakan antara usaha bagi memperketatkan kawalan keselamatan sempadan Malaysia dan Indonesia yang dijangka siap pada tahun ini.
Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi berkata pembinaan pos kawalan keselamatan ini adalah untuk memperkasakan usaha membanteras aktiviti-aktiviti haram rentas sempadan.
“Selain permohonan penambahan peralatan serta perkakasan penugasan, pembinaan pos-pos kawalan keselamatan ini adalah hasil rentetan pasukan tentera yang memohon menerusi pihak pengurusan Markas Tentera Darat untuk meningkatkan kesiapsiagaan operasi kita di sempadan serta menaik taraf kem-kem penugasan,” katanya pada majlis perasmian Pasar Dayak Kem Penrissen di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, dana RM13,239,609 telah diperuntukkan kepada pihaknya bagi penyelenggaraan infrastruktur yang antaranya melibatkan 367 premis kediaman, penggantian meter elektrik serta air serta 40 tempat letak kenderaan.
“Kami juga mempunyai pelan tindakan yang antaranya termasuklah menambah baik sejumlah 18 pos kawalan keselamatan. Selain itu, kita berhasrat untuk menyegerakan pembinaan tujuh pos kawalan keselamatan, yakni enam di Sarawak dan satu di Sabah,” katanya.
Pada masa yang sama, ATM turut bekerjasama dengan pasukan Tentera Darat Indonesia (TDI) dalam mengekang aktiviti rentas sempadan secara haram sama ada dari Indonesia atau Malaysia.
“Kita pun berhubung rapat dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) seperti mengadakan perbincangan risikan dengan PDRM supaya kita dapat mengoptimumkan kawalan sempadan.
Antara pos kawalan keselamatan yang dibina pada 2023 yang kini telah siap atau dalam pembinaan ialah Pos Kandaie di Lundu, Pos Tong Nibong di Serian, Pos Melikin di Balai Ringin, Pos Nanga San Lubok Antu, Pos Ensawang berhampiran Lubok Antu dan yang terakhir pos kawalan keselamatan di Bario. – TVS