SIBU, 18 Jan: Zon Tengah hari ini berjaya mempertahankan emas sekali lagi pada Sukan Sarawak (SUKSAR) edisi kali ini.
Kaptennya, Ted Raneiri Tugang Stanley berkata kejayaan itu diukir dengan aksi mereka berjaya menumpaskan pihak lawan Zon Utara dengan mata 4-2, pada perlawanan akhir, di sini.
“Syukur kami telah berjaya merangkul gelaran emas untuk kali kedua juga SUKSAR kali ini.
“Untuk perlawanan pagi ini agak sukar mengalahkan pihak lawan Zon Utara kerana pada mulanya perlawanan agak sengit,” katanya kepada TVS pada Khamis.
Dalam pada itu, disoal berhubung pengalaman sebelum ini Ted mendedahkan terdapat beberapa ahli pasukannya pernah mewakili SUKMA di Perak sebelum ini.
“Walaupun pasukan kami (Zon Tengah) hanya berlatih seminggu sahaja sebelum SUKSAR ini berlangsung tetapi dengan pengalaman yang ada saya dan pasukan lebih yakin untuk terus beraksi di gelanggang hoki tadi.
“Saya menyasarkan pada SUKMA tahun ini sekurang-kurangnya pasukannya masuk ke ‘second round’.
“Sebab untuk SUKMA Sarawak memang susah untuk lepas ke ‘second round,” ujarnya.
Pada masa sama, Ted mewakili atlet kelahiran Sibu yang lain agar kemudahan sukan di sini dinaik taraf bagi memudahkan mereka menjalankan latihan selepas ini.
“Untuk fasiliti di Sibu ini memang susah sikit sebab terpaksa berebut dengan orang lain bila hendak membuat latihan, perlu booking 3-5 hari sebelum berlatih,” jelasnya. -TVS