SIBU, 18 Jan: Pasukan hoki lelaki Zon Tengah yang merangkul pingat emas cuma berpeluang berlatih lima kali sebelum pertandingan Sukan Sarawak (SUKSAR).
Jurulatih Zon Tengah Dzulkhaini Mohd Tajudin berkata SUKSAR III 2023 pasukan Zon Tengah susah untuk berlatih setiap hari kerana beberapa faktor.
“Untuk SUKSAR kali ini kami berlatih lima kali sahaja sebelum SUKSAR kerana atlet-atlet dalam pasukan hoki kami tinggal jauh seperti Mukah, Sabah susah untuk berkumpul.
“Tetapi alhamdulillah pasukan kami berjaya mempertahankan lagi emas untuk SUKSAR edisi kali ini,” katanya kepada TVS.
Mengenai jadual latihan yang dibuat memandangkan kebanyakan atlet pasukan itu merupakan pelajar, mereka hanya membuat latihan pada waktu petang sahaja setelah habis sesi persekolahan.
“Untuk sesi latihan saya perlu membuat perancangan yang baik bagi memudahkan semua pasukan dapat berkumpul semua,” tambahnya.
Sementara itu, pasukan Zon Tengah sukar untuk menyasarkan pingat pada SUKSAR kali ini kerana ia bergantung dengan kesungguhan para atlet itu sendiri.
Ditanya mengenai fasiliti dan keperluan sukan di Sibu, beliau berkata ia perlu ditambah baik bagi memudahkan atlet-atlet menjalani sesi latihan dengan selesa.
Hal ini kerana prasarana yang ada di Sibu ini tidak cukup untuk menampung keperluan atlet-atlet untuk berlatih semasa penganjuran sukan besar seperti SUKSAR ini.
“Kita memang jauh ketinggalan dari segi fasiliti yang ada di Sibu ini berbanding dengan fasiliti yang ada di luar Sibu ini.
“Setiap tahun perkara yang sama akan timbul apabila menjelang SUKMA mesti berlatih di Kuching, kalau dapat setiap bahagian ada fasiliti yang lengkap untuk menbuat latihan,” katanya. – TVS