KUCHING, 18 Jan: Pasar Dayak di Kem Penrissen yang berwajah baharu siap dinaik taraf pada Disember 2023 dengan kos berjumlah hampir RM1 juta.
Menurut Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD) Lt. Jeneral Dato Mohd Sofi Md Lepi, Pasar Dayak itu telah ditambah baik dengan struktur bangunan baharu, pembinaan tandas, penurapan jalan serta pembinaan kawasan meletak kenderaan.
“Pelaksanaan serta penaiktarafan projek Pasar Dayak ini telah bermula pada 24 Ogos tahun lalu dan siap sepenuhnya pada Disember 2023 dan menelan belanja sekitar RM922,527.
“Pasar Dayak ini menyediakan 68 lot gerai bagi para peniaga untuk menjual hasil pertanian, makanan serta kraftangan dan ia turut dapat menerima 300 orang pengunjung pada satu-satu masa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pasar Dayak di Kem Penrissen di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Sofi mendedahkan inisiatif pasar itu antara lainnya sebagai usaha pengurusan angkatan tentera membantu para anggota menjana pendapatan sampingan.
“asar tamu itu juga menjadi medan bagi angkatan tentera menyantuni warga di sekitar Kota Sentosa, Samarahan dan Kota Padawan,” ujarnya.
Mohd Sofi menambah projek Pasar Dayak ini merupakan sebahagian daripada Teras Pertama Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-30 iaitu Sumber Manusia: Cakna Etos Kepahlawanan yang mengambil kira kesejahteraan warganya selain berhubung kait dengan Teras Keempat yakni Gagasan Tentera dan Rakyat yang menitikberatkan kerjasama serta hubungan komunikasi erat antara warga Tentera Darat dan orang awam. -TVS