KUCHING, 18 Jan: Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) melakukan rondaan secara rasmi dengan aktiviti pemantauan di perairan Sarawak hari ini, selepas diserahkan kepada Agensi Pengkuatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 2 Januari lalu.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi, pengoperasian sulung kapal peronda buatan tempatan itu diyakini akan memperkukuhkan keselamatan Zon Maritim Malaysia (ZMM) khususnya di sekitar Laut China Selatan berikutan perairan itu merupakan tumpuan aktiviti ekonomi dan laluan kapal-kapal dagang yang menghubungkan dari bahagian selatan ke utara laut berkenaan.
Ruji juga optimis keberadaan kapal OPV1 di perairan negara akan memenuhi matlamat operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia iaitu konsep pencegahan bagi mengekang pencerobohan kapal-kapal asing.
“Kapal OPV1 akan menjadi kapal induk kepada bot-bot peronda Maritim Malaysia yang akan melakukan rondaan penguatkuasaan di kawasan yang menjadi tumpuan nelayan asing menceroboh masuk ke laut negara bagi melakukan aktiviti penangkapan ikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan dan tinjauan pengoperasian kapal berkenaan di sini hari ini.
Ruji menambah kehadiran kapal OPV1 itu juga bertujuan untuk mengurangkan risiko syarikat cari gali dan petroleum menjadi sasaran kegiatan rompakan di laut ekoran kapal berkenaan berkeupayaan untuk melakukan operasi di laut dalam jangka masa 21 hari tanpa ulang bekal.
Selain kapal OPV1, menurutnya Maritim Malaysia turut melaksanakan perolehan bagi 10 buah aset strategik maritim seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu.
Mengulas lanjut berkaitan status kapal OPV2 dan OPV3, Ruji memaklumkan bahawa perkara berkenaan akan diangkat ke peringkat mesyuarat Kabinet.
Beliau terdahulu memaklumkan, majlis penamaan OPV1 ini dijadual akan disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam masa terdekat. – TVS