JAKARTA, 18 Jan: Indonesia menghantar kapal hospital untuk misi kemanusiaan serta membawa bantuan untuk penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.
Kapal hospital milik Tentera Laut Indonesia (TNI) iaitu KRI Dr Radjiman Wedyodiningrat itu berjaya dihantar selepas rundingan dengan Mesir sejak November 2023 dan bakal berlabuh di pelabuhan Al Arish, Mesir.
Menurut Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto, usaha ini merupakan satu bentuk komitmen kerajaan Indonesia untuk membantu mangsa konflik Palestin daripada pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza.
“Hari ini kita menyaksikan kapal hospital yang berangkat melaksanakan tugas kemanusiaan iaitu menyampaikan bantuan kepada saudara-saudara kita yang ditimpa musibah besar, penderitaan yang besar, dan serangan bertubi-tubi melampaui batas kemanusiaan di Palestin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Prabowo kapal tersebut akan digunakan sebagai perkhidmatan kesihatan selain mengagihkan bantuan logistik di sana.
Sejumlah 214 anak kapal menyertai misi itu termasuk menghantar bantuan merangkumi makanan, selimut, pakaian, peralatan bayi, pakaian wanita, khemah padang, peralatan pembersihan, air mineral, kelengkapan beribadah, dan sebagainya.
Dalam pada itu, anak kapal turut dingatkan agar sentiasa berwaspada serta peka terhadap arahan komander yang mengetuai perjalanan kerana kapal itu akan belayar melalui kawasan berbahaya.
Mengikut perancangan, kapal hospital itu akan menjalankan misi tersebut dalam tempoh 52 hari sehingga perjalanan pulang kembali ke Indonesia nanti. -TVS