SIBU, 17 JAN: Golongan ibu bapa disaran untuk mengubah persepsi negatif terhadap keupayaan anak-anak mereka untuk menceburkan diri dalam bidang sukan.
Menurut Jurulatih Angkat Berat Zon Tengah, Randy Kembaren Zulfri tindakan menghalang anak-anak daripada menyertai bidang sukan hanya akan merugikan potensi sesebuah negeri yang mampu membutirkan kejayaan.
“Kita agak susah nak memperbaiki persepsi masyarakat khususnya golongan ibu bapa yang mana mereka sebenarnya mungkin kurang pengetahuan misalnya dalam sukan angkat berat.
“Memang kita tidak dapat nafikan ibu bapa risau akan keselamatan anak-anak, tetapi sebanarnya sukan angkat berat ini merupakan sukan yang paling cukup mendisiplinkan kerana pelbagai asepk yang kita ambil kira,” katanya.
Randy berkata demikian ketika ditemui TVS di Dewan Melayu Melanau Sibu bersempena dengan Hari Kedua Sukan Sarawak (SUKSAR) Sibu 2023 di sini, pada Selasa.
Menurut Randy lagi pemikiran bahawa bidang sukan ini hanya akan mendatangkan sebarang bentuk risiko perlu ditangkis.
“Kadang-kadang ada anak-anak yang berpotensi, tetapi malangnya anak-anak ini tidak dapat menghadirkan diri dan apabila kita tanya sebab kenapa, mereka mengatakan ibu dan bapa mereka tidak membenarkan kerana risau,” kata Randy lagi.
Randy yang juga berkhidmat sebagai seorang guru di sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Sibu Jaya berkata, setiap sukan yang diwakili atlet-atlet baharu akan dibimbing oleh jurulatih-jurulatih yang bertauliah daripada Majlis Sukan Negara.
“Kalau di Sarawak ia menerusi Majlis Sukan Sarawak yang mana akan ada disediakan jurulatih yang bertauliah,” ujarnya.