KUCHING, 17 Jan: Capaian internet di Sarawak mencecah 78.8 peratus setakat suku keempat 2023, kata Dato Sri Julaihi Narawi.
Beliau yang juga Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak berkata, peratusan itu menyaksikan wilayah ini berada di landasan tepat ke arah mencapai sasaran liputan internet 100 peratus menjelang 2030.
“Sekiranya sasaran itu dapat dicapai lebih awal, ia akan memberi manfaat kepada masyarakat Sarawak kerana pencapaian pada tahun lepas kita telah menunjukkan prestasi yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Taklimat Pelaksanaan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Baharu di Sarawak di sini hari ini.
Sementara itu, beliau turut memohon agar lebih banyak Pusat Ekonomi Digital (PEDi) ditempatkan di Sarawak pada masa akan datang.
Inisiatif itu menurutnya berikutan keluasan Sarawak serta landskapnya yang besar memerlukan lebih daripada sebuah PEDi untuk ditempatkan di sesebuah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dalam pada itu beliau memaklumkan, aktiviti vandalisme di tapak pembinaan menara telekomunikasi boleh menjejaskan kerja-kerja pemasangan di lapangan.
Kata Julaihi perbuatan pihak tidak bertanggungjawab mencuri atau memotong kabel telah memberi kesan buruk terhadap keberlangsungan penyediaan internet di sesuatu kawasan.
” Terdapat tapak yang dirancang untuk dipasang kabel sepanjang 76 meter, namun kita belum lakukannya berikutan masalah vendalisme,” katanya. -TVS