SRI AMAN, 17 Jan: Rakyat Sarawak beruntung kerana memiliki barisan pemimpin berpandangan jauh diterajui oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mampu membawa kemajuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, perkara itu dapat dilihat apabila anggota pentadbiran Kerajaan Sarawak sangat komited membangunkan wilayah ini termasuk kawasan pedalaman dan pesisir melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID -19 (PCDS2030).
Jelasnya sepanjang pentadbiran Abang Johari juga, pelbagai usaha telah dilakukan agar pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik, termasuk rangkaian telekomunikasi dapat dinikmati oleh masyarakat.
“Kita sangat beruntung kerana barisan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) terutamanya YAB Premier Sarawak yang berfikiran inovatif untuk menambah baik ekonomi Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Taklimat dan Penerangan Inisiatif PCDS 2030 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dayang Noorazah berkata, harapan besar diletakkan agar barisan kepimpinan kerajaan GPS terus menerajui Sarawak bagi mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Sementara itu, beliau berkata, usaha Kerajaan Sarawak menyediakan pendidikan tinggi percuma menjelang 2026 merupakan galakan kepada belia untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Pendidikan amat penting untuk melahirkan generasi pemimpin pelapis yang berdaya saing dan seterusnya menerajui Sarawak.
“Belia mendapat peluang belajar dalam bidang sains, teknologi dan matematik yang turut menawarkan peluang pekerjaan yang baik,” katanya. -TVS