MIRI, 17 Jan: Pembangunan industri yang pesat menjurus kepada penggunaan dan permintaan sumber tenaga yang tinggi diyakini mendorong kepada kadar pelepasan karbon yang tinggi.
Ketua Pegawai Digital, Informasi dan Teknologi Komunikasi Sarawak Energy Berhad (SEB), Sim Ko Sin berkata, bagi menangani perkara tersebut semua pihak terlibat perlu mempunyai pengetahuan yang lengkap mengenai landskap industri tenaga bagi memenuhi permintaan global.
Menurutnya, Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Curtin dan SEB menjadi platform bagi mencari pendekatan baharu yang amat diperlukan untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat.
“Adalah penting kita melengkapkan diri dengan pengetahuan dan pandangan jauh dalam landskap industri tenaga yang lengkap. Permintaan global untuk tenaga tetap diteruskan untuk mencari cara bagaimana kita menjana semula, mengagihkan dan menggunakan tenaga, sedang mengalami anjakan transformatif. Ini adalah permulaan kepada kita semua, katanya ketika berucap pada Majlis Perjanjian MoU antara Universiti Curtin dan SEB di Universiti Curtin pada Rabu.
Katanya, kajian yang dijalankan di universiti dan pusat kajian ketika ini berpotensi untuk membawa teknologi baharu serta memantapkan teknologi sedia ada sterusnya menyediakan asas intelek untuk revolusi tenaga hijau.
Pada masa sama beliau meminta semua pihak termasuk pemain industri, pakar dan pengkaji terlibat, penuntut universiti berkenaan akan turut sama menyumbang dengan membawa perspektif baharu untuk memastikan perubahan dan kemajuan teknologi mampan pada masa hadapan.
Acara MoU tersebut telah disaksikan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni. -TVS