KUCHING, 17 Jan: Kerajaan Sarawak tidak menolak kemungkinan untuk mengambil alih sebuah bank perdagangan di Malaysia menjadi sebuah entiti yang ditadbirnya.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai laporan media pada minggu lepas berhubung hasrat Sarawak yang berminat untuk meningkatkan pegangan sedia ada dalam Affin Bank Bhd sehingga 20 peratus.
“Saya tak berani komen kerana Affin (Bank Bhd) sebuah syarikat tersenarai,” katanya kepada di sini hari ini.
Pada 8 Januari lepas, Affin Bank Bhd memaklumkan pemegang saham utamanya, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengesahkan laporan tabung angkatan tentera itu sedang berbincang dengan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak untuk “kemungkinan urus niaga membabitkan saham tambahan,” dalam bank tersebut.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada perkembangan ini membawa maksud bank berkenaan merupakan entiti ketiga yang ingin diambilalih oleh Kerajaan Sarawak, Abang Johari secara berseloroh berkata, sekiranya tidak ada angin, bendera tidak akan bergoyang.
Pada Jumaat lepas, Abang Johari berkata Sarawak menyasar untuk mengambil alih satu lagi entiti yang akan merancakkan sektor perniagaan dan keusahawanan negeri tersebut.
Sementara itu, Abang Johari hari ini juga hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak Peruntukan Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan (EPC) bagi Kerja-Kerja Pembinaan Struktur Tetap Luar Pesisir untuk Projek Pemampatan F6 VLAP milik Sarawak Shell Berhad antara Sarawak Shell Berhad dan Brooke Holding Sdn Bhd.
Shell Malaysia Berhad diwakili oleh Naib Presiden Kanan Upstream Malaysia & Country Chair Shell Malaysia, Siti Hurrairah Sulaiman manakala Brooke Holding Sdn. Bhd diwakili Pengarahnya, Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar. -TVS