KUCHING, 16 Jan: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencadangkan agar maklumat mengenai institusi beraja dapat dipamerkan di Muzium Budaya Borneo (BCM).
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu, titah tersebut akan dizahirkan bertujuan supaya sejarah mengenai institusi beraja diketahui umum khususnya generasi muda.
“Kita mendengar dan akan berbincang sekiranya dapat merealisasikan hasrat Tuanku tadi.
“Dalam pada itu juga Tengku Hassanal juga berharap BCM dapat mengadakan pameran mengenai Kembara Kenali Borneo yang berlangsung pada tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi lawatan rasmi Tengku Hassanal ke BCM di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Timbalan Pengarah Muzium Sarawak, Dayang Morzanah Awang Haddy.
Sementara itu, Gerald Rentap juga memberitahu, Tengku Hassanal juga sangat tertarik untuk menerokai kekayaan sejarah, budaya dan masyarakat majmuk di Sarawak menerusi lebih 1,000 artifak yang dipamerkan di BCM.
“Salah satu yang menarik perhatian Tuanku ialah mengenai sistem pertukaran barang antara masyarakat.
“Ini mempamerkan semangat perpaduan yang telah lama wujud,” tambahnya.
Tengku Hassanal berangkat tiba di Kuching semalam sempena lawatan rasmi baginda sehingga 19 Januari depan.
Esok baginda dijadualkan mencemar duli ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh sebelum berangkat ke Kubu Margherita dan Dataran Ibu Pertiwi untuk Majlis Jamuan Teh, pada sebelah petang. -TVS