KUCHING, 16 Jan: Projek menaik taraf Jalan Matang Baru Fasa 2 dari Matang Jaya menuju ke Jalan Batu Kawa-Matang di sini dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2025.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata projek jalan sepanjang 4.4 kilometer daripada simpang Jalan Matang ke Simpang Jalan Batu Kawa-Matang Kuching itu menelan belanja berjumlah RM54.59 juta.
Menurutnya setelah siap jalan berkenaan diyakini akan membantu mengurangkan kesesakan ketika waktu puncak dengan skop projek terbabit melibatkan kerja-kerja pembinaan pada jajaran jalan asal yang agak sesak.
“Jadi, pihak kontraktor juga bersama-sama pihak pelaksana projek iaitu JKR mereka telah melaksanakan pelan pengurusan trafik terutama di waktu puncak dan di waktu petang daripada bulatan E-mart sampai ke sini dia begitu sesak sekali disebabkan oleh pembinaan jalan ini.
“Namun begitu pihak kontraktor telah mengambil langkah-langkah untuk memastikan pengurusan, dan papan tanda sementara jalan telah dipasang dengan sempurna untuk mengelakkan kemalangan atau kesesakan yang teruk di Kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat tapak projek naik taraf jalan Baru Matang Fasa 2 daripada Matang Jaya ke Jalan Batu Kawa-Matang Kuching pada Selasa.
Aidel bagaimanapun menjelaskan projek berkenaan berkemungkinan akan mengalami sedikit kelewatan ekoran terdapat beberapa masalah kecil dihadapi di tapak terbabit.
“Hari ini pihak kontraktor telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyiapkan kerja-kerja projek ini berbanding dengan permulaan kerja kontraktor dahulu dimana nilai progres fizikal sebanyak 15.2 peratus berbanding jadual sebanyak 16.1 peratus dan ada sedikit kelewatan di situ.
“Daripada progres yang kita lihat, kita yakin pada bulan ini kontraktor akan melebihi daripada sasaran jadual,” katanya.
Beliau dalam pada itu mahu agar pihak kontraktor menyelesaikan perkara tersebut dengan baik dan projek berkenaan mampu disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan. –TVS