Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemain Malaysia Akhyar Rashid mengasak pemain Jordan Nizar Alrashidan pada perlawanan di antara Malaysia menentang Jordan bagi peringkat Kumpulan E sempena Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub semalam. Foto Bernama

Pemain negara sugul, elak bertemu media selepas tewas kepada Jordan

ByBernama

DOHA, 16 Jan: Sebahagian pemain skuad Harimau Malaya menolak untuk bercakap dengan media Malaysia selepas kekalahan besar 0-4 di tangan Jordan pada perlawanan Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub di sini malam tadi (awal pagi waktu Malaysia).

Dengan wajah yang sugul, mereka berjalan sambil mengelak daripada memandang ke arah para pengamal media yang menunggu di zon temu ramah stadium sebelum terus menaiki bas untuk pulang ke hotel penginapan pasukan.

Namun, pemain sayap sensasi Mohamad Faisal Abdul Halim yang berhenti seketika di zon temu ramah itu seakan-akan memberi bayangan tindakan rakan sepasukannya adalah kerana kekecewaan disebabkan tidak berjaya memberikan keputusan positif seperti diharapkan.

“Kalah 4-0 bukan keputusan yang kita inginkan. Kami semua pun tak jangka ia berlaku kerana selama tiga minggu kita berlatih dan membuat persediaan sebenarnya peluang (raih keputusan positif) itu ada tetapi kita dibolosi dua gol awal, satu penalti dan satu percubaan dari luar kotak penalti.

“Ini bukan masa untuk menyalahkan sesiapa, kita kena perbaiki kekurangan pasukan. Kim (Kim Pan Gon) sudah buat habis baik untuk pasukan tetapi kita kena realistik dengan kualiti yang kita ada dan tahap (permainan) yang pernah kita main,” kata pemain Selangor FC berusia 25 tahun itu.

Pada masa sama, Mohamad Faisal tidak menolak kemungkinan faktor gugup beraksi di pentas tertinggi bola sepak Asia itu mempengaruhi kekalahan besar pasukan, sekali gus gagal mempamerkan persembahan terbaik seperti yang dilakukan dalam perlawanan sebelum ini.

Kata beliau, pasukan perlu segera melupakan kekalahan itu dan bangkit menjelang baki dua perlawanan penting masing-masing bertemu Bahrain dan juara dua kali Korea Selatan dalam usaha melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik.

“Kita masih ada lagi dua perlawanan, peluang untuk kita melangkah (pusingan 16 terbaik) sekarang memang sukar, tetapi dalam bola sepak kita perlu berusaha dan beri terbaik sekurang-kurangnya untuk membanggakan rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, pemain tengah Stuart Wilkin yang turut tidak menghampakan media berkata kekalahan itu sesuatu yang sukar untuk diterima.

“Sangat mengecewakan dan menyukarkan kami apabila dibolosi dua gol lebih awal, ia perjuangan yang besar. Saya rasa kita perlu melihat kembali perlawanan, bagaimana dan apa kesilapan yang dilakukan, kemudian cuba perbetulkan dan buat perancangan untuk perlawanan seterusnya,” kata pemain Sabah FC berusia 25 tahun itu.

Pada perlawanan sulung kedua-dua pasukan dalam kempen kali ini, dua gol masing-masing oleh Mahmoud Almardi dan Mousa Altamari, memberikan permulaan sempurna kepada Jordan untuk mendahului saingan Kumpulan E, dengan berkongsi tiga mata bersama Korea Selatan di tempat kedua.

Malaysia akan membuat perhitungan dengan Bahrain di Stadium Jassim Bin Hammad, Sabtu ini sebelum bertemu Korea Selatan di sini pada 25 Jan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan