MIRI, 15 Jan: Empat buah tempat menunggu berbumbung untuk pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau, di sini akan dibina bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas sekali gus menjamin keselamatan mereka untuk pergi dan pulang dari sekolah.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, tiga tempat berbumbung akan ditambah untuk sekolah ini manakala satu akan diroboh dan dibina semula menjadi baru.
“Berhubung masalah kesesakan lalu lintas, kita telah merancang untuk mengadakan empat terlindung di mana para pelajar boleh menunggu ibu bapa mengambil mereka balik ke sekolah atau apabila datang ke sekolah dan turun dari kereta dengan selamat.
“Jadi ada empat tempat menunggu yang berbumbung, kita akan tambah tiga, setakat ini kita ada satu yang kecil dan lama, jadi kita akan roboh dan buat baru untuk buat lebih besar, kita akan tambah tiga lagi tempat terlindung untuk para pelajar menunggu,” katanya.
Menteri Pengangkutan Sarawak itu berkata demikian semasa melawat tapak cadangan pembesaran tempat menunggu berbumbung untuk pelajar SMK Merbau pada Isnin.
Selain Itu, projek ini juga akan membina tempat letak motorsikal berbumbung untuk para pelajar dan dua laluan zebra supaya pelajar dapat menyeberangi jalan dengan selamat.
“Untuk projek ini, untuk membuat tempat menunggu yang terlindung termasuk tempat menyimpan motorsikal yang berbumbung, terdapat peruntukan khas untuk projek ini yang diluluskan oleh YAB Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Ini satu peruntukan istimewa untuk membantu sekolah ini menyelesaikan masalah keselamatan jalan raya di sini dan juga tempat selamat untuk para pelajar menunggu dan melintas jalan di mana kita akan membina dua laluan zebra di sini,” ujarnya.
Terdahulu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meluluskan peruntukan khas ntuk projek besar di SMK Pujut dan Sekolah Kebangsaan (SK) Senadin yang juga menghadapi masalah yang serupa.
Projek tersebut akan dilaksanakan bagi membina tempat letak kereta dan membesarkan laluan kereta yang baharu bagi menyelesaikan masalah di kawasan sekolah tersebut. -TVS