GEORGE TOWN, 16 Jan: Tindakan berani seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) menggadaikan nyawa sendiri demi menyelamatkan dua individu yang terjatuh ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang semalam mendapat pujian.
TDM menerusi satu kenyataan berkata, Koperal Mazlan Abdul Rahman dari Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) telah bertindak terjun ke dalam laut apabila mendengar jeritan mangsa meminta tolong di bawah jambatan semasa melalui jambatan itu.
“Beliau juga telah memberikan bantuan pernafasan cardiopulmonary resuscitation (CPR) kepada mangsa setelah merapat ke bot berhampiran.
“Tindakan pantas berkenaan telah berjaya menyelamatkan nyawa orang awam,” kata kenyataan itu menerusi laman Facebook rasmi TDM.
Tiga individu jatuh Jambatan Pulau Pinang selepas bertelingkah
Sementara itu, kenyataan berkenaan menambah, tindakan berani dan pantas dalam membantu menyelamatkan orang awam itu wajar dijadikan contoh oleh seluruh warga TDM.
Terdahulu, media melaporkan, tiga individu terselamat selepas terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 2.8 arah Seberang Perai dekat sini dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam semalam.
Tiga individu jatuh Jambatan Pulau Pinang selepas bertelingkah
Sepasang kekasih dikatakan terjatuh selepas berlaku pertelingkahan antara mereka sebaik memberhentikan kereta jenis Honda Civic dinaiki mereka di kawasan hentian jambatan.
Seorang lelaki yang berada di tempat kejadian kemudiannya telah terjun ke dalam laut untuk membantu pasangan itu sebelum mereka diselamatkan nelayan.
Polis turut melakukan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh selepas mangsa wanita berusia 40 tahun mendakwa ditolak teman lelakinya yang juga pegawai kanan polis berusia 37 tahun ke dalam laut. – TVS