SERDANG, 16 Jan: Tiada konsensus yang dicapai dalam kalangan pemimpin Kerajaan Perpaduan berkaitan cadangan untuk menggubal Akta Parlimen Berpenggal Tetap, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata buat masa ini, pelaksanaan akta itu bukanlah satu keutamaan bagi kerajaan.
Langkah Dubai: Beri ruang Anwar Ibrahim kerja sampai habis – Abang Johari
“Saya berharap untuk membincangkan perkara itu tetapi pada masa yang sama, ia agak terlalu awal untuk kita membuat sebarang keputusan bahkan kita belum mendapat sebarang maklum balas daripada AG (Peguam Negara),” katanya kepada media selepas peluncuran program AI Untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.
Langkah Dubai: Beri ruang Anwar Ibrahim kerja sampai habis – Abang Johari
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar rang undang-undang bagi Parlimen berpenggal tetap digubal untuk memastikan pembentukan sesebuah kerajaan kekal sehingga akhir penggal atau sebelum pilihan raya umum seterusnya diadakan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata ketika ini, pembangkang sedang mencuba habis-habisan untuk menumbangkan kerajaan.
“Tapi tiada asasnya, mereka sangat lemah ketika ini dan tak ada pun satu pertiga (sokongan dalam Parlimen), jadi mengapa kita perlu membangkitkan perkara ini?
“Fokus dan keutamaan saya ketika ini ialah untuk melakukan transformasi, untuk mengubah negara ini dari segi tadbir urus yang baik dan menjadi sebuah negara yang antirasuah,” katanya. -TVS