GEORGE TOWN, 15 Jan: Tiga individu terselamat selepas terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 2.8 arah Seberang Perai dekat sini selepas berlaku pertelingkahan antara dua individu di tepi jambatan itu hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam tadi, mereka yang terlibat termasuk seorang wanita bernasib baik apabila berjaya diselamatkan nelayan yang kebetulan berada di kawasan tersebut.
Pegawai Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, Shahrul Munawer Taharen berkata, pihaknya difahamkan insiden itu berlaku selepas satu perselisihan faham di antara seorang lelaki dan wanita berusia 30-an yang menaiki kereta jenis Honda Civic di kawasan hentian jambatan.
“Semasa pertelingkahan itu, kedua-dua mereka telah terjatuh ke dalam laut dan dalam masa sama, seorang lelaki orang awam yang berada di tempat kejadian telah terjun untuk menyelamatkan.
“Kesemua mereka berjaya diselamatkan nelayan dengan bot yang kebetulan berada berdekatan tempat mereka jatuh,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar beliau, nelayan telah membawa mangsa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban di sini sebelum diserahkan kepada pihak polis dan operasi ditamatkan pada pukul 8.35 malam. – TVS