Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni.Foto, Bernama.

Sarawak perlukan perhatian Kerajaan Pusat sediakan dialisis luar bandar

KAPIT, 15 Jan: Sarawak memerlukan perhatian dan perancangan khas daripada kerajaan Pusat bagi penyediaan perkhidmatan dialisis khususnya di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata ini kerana pada masa ini belum ada pihak swasta yang mahu menyediakan perkhidmatan itu di kawasan luar bandar.

Mengambil Hospital Kapit sebagai contoh, beliau berkata terdapat pesakit yang terpaksa mendapatkan perkhidmatan dialisis di Klinik Kesihatan Song berikutan kekurangan ruang dan mesin dialisis di hospital tersebut.

Menurut Lukanisman terdapat 64 pesakit yang memerlukan perkhidmatan dialisis di Kapit namun jumlah itu terlalu ramai untuk ditangani unit dialisis Hospital Kapit, menyebabkan 12 hingga 20 orang daripada mereka terpaksa dihantar ke Klinik Song yang terletak sejauh kira-kira 52km dari Kapit untuk mendapatkan perkhidmatan dialisis.

“Ada di antara mereka mendapatkan perkhidmatan dialisis di luar Bahagian Kapit dan di Klinik Kesihatan Song sendiri terdapat 30 pesakit yang mendapatkan perkhidmatan dialisis,” katanya ketika ditemui selepas melawat klinik tersebut hari ini.

Pemasangan mesin tambahan tidak dapat dilakukan berikutan masalah ruang yang tidak mencukupi selain peruntukan dana pembangunan diperlukan untuk tujuan tersebut.

“Perancangan awal perlu dilakukan supaya ada peruntukan khas sekiranya projek itu disenaraikan di bawah Bajet 2025. Kita akan melihat pembangunan Hospital Kapit secara menyeluruh dan bukan sekadar pembangunan sedikit demi sedikit tetapi menjadikannya sebagai hospital yang lengkap dengan pakar minor,” katanya sambil menambah masalah penyediaan perkhidmatan dialisis di luar bandar turut dibangkitkan di kawasan lain yang dilawatinya iaitu di Sri Aman, Serian, Bintulu dan Miri.

Sementara itu beliau sebanyak RM19 juta diperuntukkan kepada Sarawak untuk menaik taraf klinik kesihatan di bawah program Bitara Madani tahun ini dan daripada jumlah itu, RM2.7 juta akan digunakan untuk menaik taraf enam klinik kesihatan di Bahagian Kapit.

“Klinik tersebut ialah Klinik Kesihatan Nanga Ibau, Klinik Kesihatan Nanga Bena, Klinik Kesihatan Nanga Tekalit, Klinik Kesihatan Nanga Bangkit, Klinik Kesihatan Long Busang dan Klinik Kesihatan Nanga Melinau,” katanya sambil menambah penaiktarafan Klinik Kesihatan Nanga Sekeruh menggunakan peruntukan di bawah program yang sama telah selesai pada tahun lepas.

Lukanisman turut mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Nanga Tekalit, Klinik Kesihatan Ngungun dan Klinik Kesihatan Machan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan