Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Bandar Mesa John Giles bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan ditemui pada Festival Asia Ke-3 di Arizona, Amerika Syarikat. Foto MTCP

Pembeli Amerika Syarikat kedua teramai beli kediaman MM2H di Sarawak

ByMuqri Aziz

KUCHING, 15 Jan: Program Malaysia Rumah Keduaku Sarawak (S-MM2H) mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat Amerika Syarikat, kata Datuk Snowdan Lawan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata, ini dapat dilihat berdasarkan statistik yang menunjukkan pembeli dari negara itu menduduki tempat kedua senarai pembeli tertinggi.

Kata Snowdan, pelbagai faktor telah menarik mereka untuk membeli rumah di Sarawak termasuk sebagai destinasi masyarakat berbilang kaum, agama dan bangsa.

“Selain itu kestabilan politik serta pembangunan pesat telah menjadikan Sarawak sebagai pasaran ekonomi terbuka, dinamik serta mesra perniagaan.

“Ini seterusnya menarik pelabur tempatan dan asing kerana kita menyediakan lokasi ideal untuk warga asing mencari rumah kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Asia Ke-3 di Arizona, Amerika Syarikat, kelmarin.

Turut hadir, Konsul Kehormat Malaysia di Arizona, Winnie Kho Kaplan dan Presiden Asian Festival, Dr Steve Kaplan.

Sementara itu, Snowdan berkata, beberapa polisi yang diperkenalkan oleh kerajaan turut memudahkan warga asing membeli rumah di Malaysia.

“Program S-MM2H membolehkan warga asing yang memenuhi kriteria tertentu untuk tinggal di Malaysia dengan pas pembaharuan selama 10 tahun dengan visa kemasukan berganda.

“Sehubungan itu, para peserta yang diluluskan akan dibenarkan membeli rumah kediaman di Sarawak pada harga minimum USD140,000 atau kira-kira RM651,000 dan pembelian rumah itu kelak akan dikecualikan daripada kelulusan Jawatankuasa Pelaburan Asing,” katanya.

Berhubung keunikan Sarawak, Snowdan turut berkongsi dengan peserta festival bahawa wilayah yang terkenal dengan jolokan ‘Bumi Kenyalang’ ini yang mempunyai lebih 34 kumpulan etnik, tarikan alam semula jadi, makanan dan perayaan yang unik.

“Sarawak juga mempunyai 67 taman negara, 24 daripadanya terbuka kepada orang ramai, kesemuanya melindungi habitat termasuk pantai dan hutan bakau, kawasan pedalaman berbukit dan gunung di sepanjang sempadan Indonesia,” katanya lagi.

Antara delegasi Sarawak yang turut hadir festival berkenaan termasuklah Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datu Sherrina Hussaini dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Sharzede Salleh Askor. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan