NIBONG TEBAL, 15 Jan: Tindakan pasangan suami isteri menjalankan perniagaan barangan berjenama mewah tiruan mengundang padah apabila mereka ditahan pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada serbuan di sebuah rumah teres di Simpang Ampat di sini hari ini.
Pasangan itu merupakan antara empat individu termasuk dua pekerja wanita berusia 30-an yang ditahan bagi siasatan lanjut pada operasi bermula kira-kira pukul 11 pagi itu.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, pihaknya menyita 1,437 unit barangan disyaki menggunakan cap dagangan palsu bernilai kira-kira RM70,250 termasuklah beg tangan, dompet, gelang tangan, minyak wangi dan tuala.
“Operasi ini berdepan kesukaran kerana pasukan KPDN perlu melalui pelbagai kawalan untuk akses ke premis ini (di kawasan perumahan elit) yang dikawal ketat pengawal keselamatan.
“Sebelum ini mereka beroperasi di Parit Buntar (Perak) dan bertukar lokasi (ke sini) dengan beroperasi baru empat bulan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan hari ini.
Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati, perniagaan itu dijalankan sepenuhnya melalui jualan secara langsung di laman sosial dengan memperoleh pulangan lumayan.
“Pembeli perlu membida semasa ‘live’ (siaran langsung) di Facebook dengan harga lebih tinggi dan ada yang mencecah bidaan RM1,400 untuk satu barang,” katanya. -TVS