KUCHING, 15 Jan: Remaja dari Sarawak, Nur Qamarina Syafira dinobatkan sebagai pemenang utama pertandingan I Am Model Search International 2024 yang berlangsung di Kuala Lumpur, kelmarin.
Gadis berusia 14 tahun itu berkongsi tempat dengan dua lagi pemenang utama iaitu Yeerul Tbileg Engkhbayar dari Mongolia dan Russel Jan Comia dari Filipina.
Sebelum ini Nur Qamarina Syafira memenangi pertandingan I Am Model Search Malaysia 2023 yang melayakkan dia mewakili Malaysia di pertandingan peringkat antarabangsa.
Pertandingan ini disertai oleh 68 peserta dari 17 negara dengan objektif untuk mencari bakat baharu dalam industri peragaan dalam dan luar negara.
Antara negara yang menyertai pertandingan edisi kedua ini termasuklah Australia, Amerika Syarikat, Botswana, Filipina, Indonesia, India, Jepun, Kemboja, Korea Selatan, Malaysia, Mexico, Myanmar, Singapura, Sri Lanka dan Thailand. -TVS