KUALA LUMPUR, 15 Jan: Komitmen kerajaan dalam memastikan penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih tidak mengenakan caj tambahan bagi akses kepada rangkaian 5G membuktikan usaha berterusan kerajaan dalam mengurangkan beban hidup rakyat.
Pekerja swasta Nur Fitri Ismail, 39, berpendapat akses kepada rangkaian 5G pada hari ini ialah satu keperluan kerana perkembangan teknologi telekomunikasi banyak mempengaruhi kehidupan harian masyarakat termasuk cara berkomunikasi, mendapatkan maklumat, kaedah belajar dan mengajar serta bekerja.
“Kalau dari segi pembelajaran anak, bila kena ikuti kelas tuisyen dalam talian, liputan Internet yang baik memang sangat diperlukan, bukan itu sahaja data yang besar juga diperlukan sebagai contoh untuk pelan dengan data 60 gigabait (GB) bil bulanan saya sudah mencecah hampir RM150 … tetapi kita tahu penggunaan Internet hari ini bukan sekadar untuk penggunaan harian, malah lebih daripada itu.
“Biasanya, kalau pelan dengan data yang besar harga yang ditawarkan sudah sedia mahal juga, jadi jika ada caj tambahan bagi penggunaan rangkaian 5G, ia akan lebih membebankan orang ramai,” katanya.
Justeru, dia berharap kerajaan dapat terus memastikan tiada sebarang caj tersembunyi dikenakan kepada pengguna melalui pakej atau tawaran pelan yang disediakan syarikat telekomunikasi (telco).
Perkara seperti ini mungkin boleh dikesan jika tiba-tiba pelan perkhidmatan jadi lebih mahal dan bagi pihak kerajaan, isu teknikal seperti ini sudah pasti ada mekanisme untuk mengesan sebarang perubahan caj pada pelan yang ditawarkan.
“Jadi dalam hal ini, kerajaan perlu mainkan peranan secara berterusan dengan membuat pemantauan secara berkala bagi memastikan jika terdapat sebarang perubahan ketara pada pelan atau pakej yang ditawarkan, ia dapat dikesan awal dan diambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Peniaga dalam talian, Farhana Zakaria, 32, berkata komitmen kerajaan itu bertepatan dengan keperluannya mengggunakan teknologi 5G untuk menjual produk melalui platform e-dagang seperti Shopee dan media sosial.
“Pada saya tidak perlulah ada caj tambahan sebab zaman 3G dahulu pun tiada dikenakan sebarang caj. Macam saya peniaga dalam talian memang bergantung kepada kemudahan ini.
“Selain itu, ramai orang hari ini yang berdepan dengan kesukaran kewangan, kalau ada caj tambahan, pengggunaan akan menjadi terhad kerana berbayar … rakyat tidak dapat memanfaatkan teknologi dan kemudahan yang disediakan kerajaan ini,” katanya.
Perkara itu turut diakui Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Saravanan Thambirajah yang menyifatkan komitmen kerajaan itu wajar bagi memastikan pengguna tidak ketinggalan dalam mendapatkan akses 5G.
Saravanan berkata keputusan itu mengambil kira kos sara hidup yang meningkat ketika ini, selain yakin ia akan meningkatkan produktiviti rakyat kerana teknologi 5G ialah satu perkembangan yang nyata berbeza keupayaannya berbanding teknologi 1G, 2G, 4G, dan 3G sebelum ini.
“Teknologi bukan sahaja mampu memberikan pengalaman Internet berkelajuan tinggi pada kadar 10 hingga 100 kali ganda atau hingga mencecah 1.5 GB sesaat berbanding teknologi 4G, malah dilengkapi dengan sambungan yang lebih berkualiti.
“Kecekapan sambungan ini yang akhirnya menjadikan kadar penggunaan tenaga lebih rendah pada peranti pengguna, sekali gus berpotensi besar untuk merancakkan komunikasi mudah alih melalui inovasi, di samping mewujudkan industri baharu yang membawa manfaat besar kepada keseluruhan ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi.
Saravanan berharap di sebalik kecekapan teknologi 5G itu, kerajaan akan terus memantau dan menyiasat rungutan pengguna jika ada dalam kalangan mereka yang dikenakan caj tambahan.
Pada 9 Januari lepas, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan tiada caj tambahan akan dikenakan oleh syarikat telekomunikasi kepada pengguna untuk mendapatkan akses rangkaian 5G dan keputusan itu dimaklumkan sendiri oleh semua ketua pegawai eksekutif syarikat telekomunikasi kepada beliau. -TVS