KUCHING, 14 Jan: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Malaysia memerlukan kestabilan politik di peringkat nasional bagi memastikan negara dapat menghadapi pelbagai cabaran global.
Beliau yang juga Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, ia juga akan membolehkan pentadbiran dan pembangunan negara berjalan lancar.
Langkah Dubai: Beri ruang Anwar Ibrahim kerja sampai habis – Abang Johari
“(Kestabilan juga menyumbang) sudut pembangunan yang lebih efektif di pusat kerana kita berhadapan dengan banyak cabaran termasuklah peningkatan kos sara hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di sini hari ini.
Yang turut hadir, dua Timbalan Yang Dipertua, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan akan terus memberikan inputnya.
“Kita harap untuk memastikan Malaysia stabil dan seterusnya membangunkan seluruh negara,” katanya.
Sementara itu Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata, GPS menyerahkan kepada pakar perlembagaan berhubung cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) untuk mengekalkan kerajaan sehingga habis penggal.
“Saya tidak tahu mengenai latar belakang sama ada RUU itu boleh dilaksanakan.
“Dalam perlembagaan, kita mempunyai kebebasan memilih.
“Ini bermakna kita tidak boleh menggunakan paksaan tetapi kita mempunyai peraturan untuk memantau keadaan politik kerana demokrasi adalah berasaskan kebebasan memilih,” tambahnya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyarankan perkara itu semalam berkata, langkah berkenaan dapat menjamin kestabilan negara memandangkan kerajaan tidak diganggu oleh percaturan ahli politik demi kepentingan dan agenda masing-masing. -TVS