KUCHING, 14 Jan: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan laporan 12 mangsa dirawat akibat digigit anjing yang positif rabies pada minggu lepas.
Menurut KKM, kejadian bermula pada 6 Januari 2024 melibatkan lapan kes di Tabuan Desa Indah, Lorong Keranji yang mana kesemua mangsa dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS).
Pada 7 Januari pula, tiga lagi kes gigitan anjing di kawasan itu turut dilaporkan.
“Kesemua 11 kes tersebut telah diberikan vaksin rabies dan rawatan Rabies Immunoglobulin (RIG).
“Salah seorang pesakit dimasukkan ke wad pada 6 Januari 2024 kerana perlu diberikan prosedur perawatan luka manakala kes lain diberikan rawatan sebagai pesakit luar,” jelas KKM menerusi kenyataan media di Putrajaya hari ini.
Menurut KKM, siasatan mendapati kesemua mangsa digigit oleh anjing liar yang sama yang kemudiannya telah ditangkap oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada 8 Januari 2024.
“Keputusan ujian makmal yang dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menunjukkan anjing positif rabies,” jelas KKM.
Sementara itu kes ke-12Â yang dilaporkan pula melibatkan mangsa di Lorong Tabuan Timur yang digigit oleh seekor anjing peliharaan.
Mangsa telah mendapat rawatan di HUS pada 7 Januari 2024.
“Anjing itu telah diserahkan secara sukarela kepada PBT dan keputusan ujian makmal menunjukkan haiwan itu positif rabies,” jelas kenyataan itu lagi.
Mangsa juga telah diberikan vaksin anti-rabies serta rawatan RIG manakala kesemua pesakit yang dirawat telah dibenarkan pulang ke rumah masing – masing. -TVS