Kuching, 13 Jan: Rakyat Sarawak amat bertuah kerana memiliki seorang pemimpin yang berwawasan tinggi seperti Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kata Datuk Seri Nancy Shukri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu mengakui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan Abang Johari telah memberi impak besar bukan sahaja di peringkat negeri dan seluruh negara, malah di peringkat antarabangsa.
“Pelbagai inisiatif baharu yang diperkenalkan terutamanya tenaga boleh diperbaharui (hidrogen dan alga) yang merupakan satu impak di peringkat antarabangsa yang telah memberi keuntungan kepada rakyat Sarawak.
“Orang Sarawak sangat beruntung kerana dapat limpahan manfaat yang dibawakan oleh Abang Johari sebagai satu wadah bagi membantu rakyat,” katanya.
Turut senada, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin berkata Premier Sarawak telah membuktikan kepimpinan yang bermutu tinggi dengan melihat pencapaian negeri yang cemerlang dalam tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ujar beliau, visi dan wawasan Abang Johari yang jelas telah menyaksikan pelbagai perkara telah menjadi realiti di bawah pimpinannya.
“Mengenai tuntutan MA63, tidak pernah dalam sejarah kepimpinan Sarawak kita dapat revolusi kuasa serta hak-hak MA63 yang dipulangkan kembali dengan begitu banyak, ini merupakan pencapaian yang besar.
“Sarawak yang mencapai status pendapatan tinggi pada 2023 menunjukkan satu petanda yang menunjukkan kesungguhan, keprihatinan dan kebijaksanaan beliau meneraju Sarawak,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap berkata antara perbezaan Premier Sarawak berbanding pemimpin-pemimpin yang terdahulu ialah kepimpinan beliau menghasilkan keputusan yang positif kepada rakyat Sarawak.
“Pada awalnya beliau mengambil alih, hasil pendapatan negeri adalah RM6.86 bilion dan kini hasil pendapatan Sarawak pada 2023 telah mencecah RM13.1 bilion.
“Abang Johari turut membangunkan Pelan Strategi Pembangunan 2030 Pasca Covid-19 (PCDS 2030) yang mempunyai polisi bersifat inklusif dan progresif,di mana tiada rakyat Sarawak yang tertinggal belakang,” ujarnya.
Kesemua mereka berkata demikian ketika ditemu bual TVS pada Sesi Townhall 7 Tahun Bersama YAB Premier di Hikmah Exchange, di sini, pada Jumaat. – TVS