KUCHING, 13 Jan: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) sedang merangka beberapa siri aktiviti kemasyarakatan sepanjang tahun sempena meraikan ulang tahun ke-50 pada tahun ini.
Ketua Komunikasi Media PETRONAS, Jalina Joheng berkata inisiatif syarikat minyak dan gas berkenaan bersandarkan hasrat ingin berbakti kembali kepada masyarakat.
“Kami ingin memberi kembali kepada masyarakat selain menghargai apa yang mereka berikan kepada kami serta (penghargaan) bagaimana mereka menyokong kami,” katanya.
Jalina berkata demikian pada majlis makan malam Media PETRONAS-Kuching di Hotel Hilton, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Jalina yang merupakan bekas wartawan turut menzahirkan penghargaannya terhadap sokongan media Sarawak atas kerjasama dan liputan berita berkaitan peranan PETRONAS.
“Kami amat berterima kasih atas sokongan anda yang tidak berbelah bahagi atas laporan berita khususnya di Sarawak dan seluruh Malaysia.
“Laporan anda telah membantu rakyat Sarawak juga dengan liputan yang bersifat adil, positif dan bermaklumat,” ujarnya.
Jalina seterusnya meyakini bahawa PETRONAS akan terus menjalin hubungan baik bersama media dan masayarakat demi kepentingan bersama.
Terdahulu, anak kelahiran Sarawak itu dilantik sebagai Ketua Komunikasi Media PETRONAS berikutan persaraan Azman Ibrahim. -TVS