KUALA LUMPUR, 13 Jan: Seorang pelancong maut selepas bas ekspres yang dinaikinya terbabit kemalangan dan terbakar di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Melaka, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian pada pukul 3.50 pagi tadi di Kilometer (km) 198 arah utara itu menyebabkan Yafarah Taj Fakrudin Hussaini, 17, dari India yang melecur meninggal dunia semasa menerima rawatan.
Katanya, bas berkenaan yang dari Singapura ke Kuala Lumpur membawa seramai 28 orang penumpang.
“Kemalangan menyebabkan dua lagi cedera parah, dua cedera ringan dan 23 yang lain tidak mengalami kecederaan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau memberitahu, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 21 tahun terbabas sendiri dan jatuh di lorong paling kiri.
“Penunggang sempat bangun dan tidak lama kemudian datang bas dan telah melanggar dan menyeret motosikal itu hingga terbakar.
“Tiga penumpang yang duduk di bahagian belakang telah terperangkap mengalami kecederaan badan terbakar serta melecur,” katanya.
Arshad berkata, bas berkenaan dalam perjalanan dari Singapura hendak ke Kuala Lumpur manakala motosikal itu dari Plaza Tol Ayer Keroh hendak ke Negeri Sembilan.
“Empat penumpang bas yang mengalami kecederaan dirawat di Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan,” katanya.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -TVS