IPOH, 13 Jan: Sindiket pelacuran yang aktif mempromosi wanita warga asing melalui media sosial dengan pakej serendah RM200 hingga RM1,000 sejak setahun lalu di sini, akhirnya tumpas digempur Jabatan Imigresen Malaysia dalam satu operasi lewat malam tadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia, Jafri Embok Taha berkata dalam serbuan di lima lokasi berasingan melibatkan dua premis pelacuran dan tiga premis pusat hiburan KTV sekitar Ipoh itu berjaya menahan 141 warga asing termasuk 10 warga tempatan yang bertindak sebagai penjaga premis.
Beliau berkata hasil serbuan telah menahan 52 wanita warganegara China, Vietnam (41 wanita), Thailand ( 21 wanita), Indonesia (dua wanita), Laos (seorang wanita), lapan lelaki warga Bangladesh, empat lelaki warganegara Myanmar, Indonesia (seorang lelaki) dan seorang lelaki tidak bernegara.
“Kesemua yang ditahan berusia antara 18 hingga 36 tahun,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata hasil semakan awal, 32 wanita warganegara China, 15 wanita Vietnam, lapan wanita Thailand, dua wanita Indonesia dan seorang lelaki Myanmar yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS), Pas Khas, Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Pas Penggajian yang masih sah laku, manakala bakinya tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah untuk berada di negara ini.
Jafri berkata pihaknya turut merampas kondom, dokumen premis, rekod perniagaan, kunci premis, peralatan seks, 32 pasport China, 15 pasport Vietnam, lapan pasport Thailand, dua pasport Indonesia, sekeping pasport Myanmar, wang tunai RM14,155, 12 telefon bimbit, kad perakam waktu, tuala dan peralatan kamera litar tertutup (CCTV).
Beliau turut mendedahkan terdapat laluan masuk dan keluar selain pintu masuk utama bagi pelanggan dan pelayan perempuan warganegara asing sekiranya pihak berkuasa melakukan pemeriksaan.
“Semasa serbuan dilakukan, wanita warganegara asing yang bekerja sebagai pelayan cuba lari dan bersembunyi di bilik-bilik rahsia yang dibina khas bagi mengaburi pegawai penguat kuasa termasuk bersembunyi di atas syiling dan bumbung bangunan pusat hiburan, namun segala usaha warga asing ini berjaya dipatahkan,” katanya.
Katanya kesemua warga asing itu ditahan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963, manakala 10 warga tempatan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
Pihaknya akan meneruskan tindakan ke atas pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), katanya. -TVS