KUCHING, 12 Jan: Sarawak mengutip Cukai Jualan Negeri (SST) bagi tempoh 2019 hingga 2023 berjumlah RM15.8 bilion, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurut beliau hasil positif itu dibuktikan dengan kepimpinan berani dan bijak Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Kini Sarawak berhak melaksanakan kutipan lima peratus cukai jualan untuk petroleum dan gas mulai dari 2019.
“Jumlah kutipan sejak 2019 sehingga 2023 adalah RM15.8 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Premier Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Uggah memberitahu Abang Johari terus berjuang mengembalikan hak Sarawak menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Jelasnya ia merupakan satu tindakan berani dalam membuat keputusan terbaik bagi masa depan Sarawak. -TVS