KUCHING, 12 Jan: Persidangan mini untuk pengamal media antara inti pati yang dicadangkan sebagai pengisian Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, penganjuran HAWANA disusun dengan baik berikutan ia antara acara besar yang berlangsung di Sarawak tahun ini.
“Pada masa yang sama, selain daripada HAWANA kita juga bercadang untuk mengadakan program kita sendiri iaitu persidangan mini untuk pihak media, mungkin sekali dengan HAWANA.
“Ini antara acara besar yang berlaku di Sarawak selain daripada SUKMA dan acara-acara lain. Jadi kita ambil serius tentang penganjuran HAWANA sebagai satu penghargaan kepada semua warga media bukan hanya di Sarawak tetapi seluruh Malaysia untuk datang ke Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Premier Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Tambahnya pihaknya akan bermesyuarat bersama pihak berkaitan di ibu negara bagi memperhalusi perancangan penganjuran HAWANA.
Ujar Abdullah, HAWANA mungkin akan merangkumi beberapa acara menarik, antaranya bengkel yang melibatkan warga muda bagi memberi pemahaman kepada mereka mengenai karier warga media. -TVS