KUCHING, 12 Jan: Kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memimpin negeri ini sejak 13 Januari 2017 diakui berjaya membawa pembaharuan dalam pelbagai aspek sehingga mampu menarik barisan pelabur asing datang ke Bumi Kenyalang.
Sepanjang tujuh tahun pentadbiran Abang Johari, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan berjaya mentransformasikan negeri terbesar di Malaysia ini ke satu tahap yang tinggi seiring mengejar misi Sarawak maju menjelang 2030.
Felow Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Jeniri Amir menyifatkan inisiatif dan pembaharuan yang dilakukan oleh Abang Johari bukan sahaja telah memperkasa ekonomi, malah berjaya memodenkan negeri ini.
“Saya boleh katakan beliau (merupakan) pemimpin yang berjaya mentransformasikan Sarawak dari segi kewangan dan ekonomi dengan memodenkan negeri ini ke satu tahap yang lebih tinggi.
“Beliau melangkaui politik pembangunan untuk pastikan 2.9 juta rakyat Sarawak menikmati kehidupan yang lebih baik. Saya percaya sesi dialog pada esok hari, Premier akan mendedahkan lebih banyak lagi insiatif baharu,” katanya.
Senada dengannya, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian mengakui kepimpinan Abang Johari telah memainkan peranan begitu penting dalam mengembalikan hak di negeri ini berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita lihat tujuh tahun pentadbiran beliau memperlihatkan kemampanan untuk merakyatkan kepimpinan bukan sahaja untuk Sarawak tetapi juga untuk menjamin persoalan bagaimana untuk mempertahankan apa sahaja di dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan soal untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, pengacara TV tempatan, Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar berkata, kejayaan Sarawak hari ini dicemburui negeri lain dan mula mencontohi pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Abang Johari.
“Kita biarkan fakta yang bercakap tentangnya, sebab kalau kita mempromosi tanpa bukti, takda erti, hakikat semua nombor petunjuk ekonomi dan petunjuk sosioekonomi menggambarkan Sarawak di landasan yang tepat.
“Esok saya kira banyak perkara akan didedahkan untuk melihat apa rahsia Sarawak,” ujarnya.
Sesi Townhall 7 Tahun Bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, diadakan esok, Sabtu dijangka akan membincangkan pencapaian Kerajaan Sarawak sejak 2017 dan perancangan Abang Johari memajukan lagi Sarawak di masa hadapan.
Ia akan disiarkan secara langsung jam 8.30 malam di TVS saluran 122 MYTV, Unifi TV & Astro. – TVS