KUCHING, 11 Jan: Setiap tahun sejak 2017 tanggal 11 Januari pasti menjentik perasaan hiba rakyat Sarawak berikutan pada tarikh keramat itu, Pehin Sri Tan Sri Adenan Satem telah menghembuskan nafas terakhir.
Namun setelah tujuh tahun berlalu, pemergian bekas Ketua Menteri Sarawak yang mesra dipanggil ‘Tok Nan’ masih tetap dikenang kerana kehadiran pemimpin berjiwa rakyat itu meninggalkan rasa rindu bukan sahaja dalam kalangan rakyat malah juga dirasai para pemimpin Sarawak yang meneruskan legasinya ketika ini.
Menjadi antara pemimpin pertama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian telah menukarkan ‘profile picture’ akaun Facebooknya kepada satu poster wajah Tok Nan, hari ini.
“Memperingati Adenan Satem (27.1.1944 – 11.1.2017).
“Sudah 7 tahun, namun kehadiran anda amat bermakna di sini bersama kita,” ujar Dr Sim dalam hantaran Facebooknya sekitar 10 pagi tadi.
Hantaran beliau itu juga mengulangi slogan Allahyarham Tok Nan, “Jaga Sarawak bait-bait” turut dikongsi.
Dr Sim merupakan pakar kardiologi dan berpengalaman merawat Allahyarham ketika hayatnya sebelum beliau mengesahkan Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan pada jam 1.30 tengah hari pada 11 Januari 2017. – TVS