KUCHING, 11 Jan: Frasa ‘Sarawak First’ sentiasa menjadi pegangan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memajukan Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, malahan frasa ini dibuktikan menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi.
Dari aspek kementeriannya, beliau berkata Premier sentiasa memberi sokongan dan nasihat dalam melaksanakan inisiatif di bawah kementerian itu.
‘Kami sangat berterima kasih kerana Premier sentiasa bagi bantuan dan nasihat apa yang perlu dilakukan di bawah kementerian kami.
“Inisiatif-inisiatif ini tidak akan dapat kita laksanakan tanpa sokongan positif yang dijalankan oleh Premier Sarawak,” katanya ketika diminta mengulas mengenai inisiatif Abang Johari.
Fatimah berkata lagi, sepanjang tujuh tahun mengemudi kerajaan negeri, Abang Johari telah melakukan yang terbaik demi kemajuan Sarawak.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat daripada Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfal Saari di sini, hari ini.
Pihaknya sentiasa mengalu-alukan lawatan seperti itu bagi menjalinkan kerjasama dalam usaha memperkasakan golongan bersasar.
“Kerajaan Sarawak kami sangat mengalu-alukan lawatan kerja seperti ini sebab bekerjasama untuk sesuatu yang baik,” katanya.