Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jumlah mangsa banjir di Johor dan Pahang kembali meningkat pagi ini kepada 9,146 orang yang berlindung di 76 pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 8,586 orang malam tadi. Foto fail Bernama

Mangsa banjir di Johor, Pahang meningkat pagi ini – NADMA

ByBernama

KUALA LUMPUR, 11 Jan: Jumlah mangsa banjir di Johor dan Pahang kembali meningkat pagi ini kepada 9,146 orang yang berlindung di 76 pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 8,586 orang malam tadi.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 7,536 orang berbanding 7,025 orang direkodkan malam tadi.

Kesemua mangsa ditempatkan di 53 PPS di enam daerah iaitu Kota Tinggi di 26 PPS dengan 4,448 orang, Johor Bahru (12 PPS, 1,710 orang), Kluang (sembilan PPS, 1,163 orang), Segamat (empat PPS, 103 orang) manakala Kulai dan Pontian masing-masing satu PPS dengan 90 dan 22 orang.

Di Pahang, jumlah mangsa meningkat kepada 1,610 orang berbanding 1,561 orang malam tadi, yang berlindung di 23 PPS di tiga daerah melibatkan masing-masing 11 PPS di Pekan dan Rompin serta satu di Maran.

Sementara itu, tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati, beberapa sungai di Johor masih mencatatkan paras bahaya iaitu Sungai Endau di Kluang, Sungai Jemaluang di Mersing dan Sungai Johor di Kota Tinggi.

Di Pahang, Sungai Pahang di Maran, Pekan dan Bera serta Sungai Rompin di Rompin turut mencatat paras bahaya, begitu juga dengan Sungai Kedah di Kota Setar, Kedah; Sungai Perak di Hulu Perak, Perak; Sungai Arau bagi kawasan Arau, Perlis dan Sungai Terengganu di Hulu Terengganu, Terengganu.

Laporan itu turut memaklumkan terdapat 52 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh, antaranya Jalan Johor Bahru-Endau dan Jalan Desaru-Pengerang di Kota Tinggi, Johor; Jalan Temerloh-Jerantut dan Jalan Serengkam di Maran Pahang.

Dalam pada itu mengenai bencana kebakaran, NADMA melaporkan satu PPS dibuka di Kuching, Sarawak yang menempatkan 38 orang daripada 12 keluarga. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan